Friday, May 5, 2017

Sejarah UMNO Pahang



Dato' Haji Hussein bin Mohd Taib merupakan bapa kepada Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Bentong. Beliau juga adalah Pembesar Orang Besar Berempat Pahang-Orang Kaya Indera Syahbandar ke 9.


Asalnya UMNO Pahang ialah Persatuan Melayu Pahang (PMP), ditubuhkan di Kuala Lipis pada Mac 1938 lebih 70 tahun dulu...

Lahir PMP atas rasa gelisah orang Melayu ekoran isu kemasukan orang Cina dan India walaupun dikawal secara kuota mulai 1930 namun kemasukan ketara berlaku.

Ini diresahkan lagi dengan penguasaan masyarakat tersebut dalam bidang perniagaan dan pekerjaan. Tokoh mereka- Tan Cheng Lock membuat permintaan dan tuntutan agar Malaya memulakan langkah ke arah kerajaan sendiri menerusi pilihanraya untuk memilih Majlis Perundangan.

Orang Melayu merasakan permintaan tersebut bermakna orang Cina juga ada hak politik yang sama seperti orang Melayu sedangkan bagi mereka urusan politik adalah urusan raja.

Orang Melayu juga tidak senang dengan tuntutan Tan Cheng Lock yang mahukan jawatan dalam MCS(Malaysian Civil Service) dibuka kepada semua, tidak terhad untuk disandang oleh orang Inggeris dan Melayu sahaja.

Tambah membimbangkan Tan Cheng Lock menghujah betapa anak orang Cina harus kekal belajar di sekolah aliran Cina. Mereka tidak perlu belajar di sekolah aliran Melayu kerana bahasa Melayu itu sendiri menurut tokoh tersebut boleh dipelajari di luar sekolah.

Tokoh Dato' Hussein Mohd Taib, Pegawai Daerah Bentong menyuarakan tentang perlunya orang Melayu mempunyai sebuah badan untuk bersuara dan bertindak, demi membela masa depan orang Melayu.

Hasil inisiatif Dato' Hussein-yang juga ayahanda kepada Tun Abdul Razak atau Nenda kepada Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib, tertubuhnya PMP dimana Tengku Muhamad ibni Sultan Ahmad yang juga Setiausaha kepada KDYMM Sultan Pahang sebagai Yang Dipertua dan Dato' Hussein selaku Naib Yang Dipertua.

Pada Ogos 1939 dan Disember 1940, PMP turut menghadiri kongres pertama dan kedua Kesatuan Melayu Semenanjung di Kuala Lumpur dan Singapura. Kongres ketiga dicadangkan pada 1941 di Ipoh tetapi tidak kesampaian bila Jepun menyerang Tanah Melayu.

Pada awal pemerintahan Jepun, PMP diharamkan tetapi tiga tahun kemudian PMP diberi izin dihidupkan semula. Lalu PMP dilancarkan semula pada 29 Mei 1944 di Pekan oleh KDYMM Sultan Abu Bakar.

Baginda dilantik Yang Dipertua, Tengku Besar Sulaiman Naib Yang Dipertua, Tengku Muhamad ibni Sultan Ahmad sebagai Setiausaha. Yang lainnya ialah 12 ahli serta enam Yang Dipertua daerah Pekan, Kuantan, Temerloh, Lipis, Raub dan Bentong dan enam lagi dipilih menduduki AJK.

Kerajaan Inggeris memperkenalkan gagasan Malayan Union untuk menghapuskan kuasa Sultan dan mahu menjadikan semua orang warganegara asalkan lahir di Tanah Melayu-"jos suli".

Pada 1 hingga 4 Mac 1946 berlansunglah Kongres Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman, di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk menentang Malayan Union. Antara 10 hingga 12 Mei 1946, usaha penyatuan disambung pula ke Istana Besar Johor yang secara rasminya lahirlah UMNO pada 11 Mei 1946.

Di Pahang yang pertama menubuhkan UMNO Bahagian ialah Pahang Barat(Bentong, Raub, Kuala Lipis dan Jerantut) hasil mesyuarat pada 22 April 1950 di Sekolah Agama Al-Dinniah, Dong, Raub. Ketuanya ialah Sulung Ali.

Kemudian Bahagian Pahang Selatan(Temerloh) pada akhir April 1950. Diikuti Bahagian Pahang Timur(Pekan dan Kuantan) pada Mei 1950.

UMNO Bahagian Jerantut berpecah dengan UMNO Pahang Barat dengan membentuk Bahagian sendiri pada tahun 1974. Ketua Bahagian UMNO Jerantut yang pertama ialah Dato' Shariff Ahmad.

Demikianlah sejarah UMNO Pahang yang diasaskan oleh pejuang Melayu Pahang, intelektual Pahang, Raja dan Orang Besar-besar Pahang. UMNOlah parti yang memaju dan memakmurkan Pahang ini.

1 comment:

Anonymous said...

Pahang ni maju ke? Selain Kuantan, yg lain mcm tak je.. Temerloh-Mentakab sgt berpotensi utk maju sesuai dgn kedudukan geografinya tp tak dibangunkan dgn sungguh2.. Semua pembangunan pun fokus ke kuantan dan skrg sedikit di Pekan.. Harap sgt seimbangkan kemajuan daerah2 lain juga. Contohilah Johor, Perak yg pembangunan sama rata, tidak fokus kpd ibu negeri sahaja.

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024